Tuesday, March 29, 2011

Surat Kepada Perdana Menteri

Assalamualaikum Dato’ Seri.

Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.

Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).

Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.

Tidaklah pula saya katakan yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari hanyalah makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.

Izinkan saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!

Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.

DASAR

Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya bahawa setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?

Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?

Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.

Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.

Saban hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!

Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI

Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Maka menjelang 2014 negara kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.

Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.

Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan ketika Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.

Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para cerdik pandai generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?

IFF dan AURAT

Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar bertitah demikian kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.

Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato’ Seri dan isteri melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam) yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?

Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?

JUDI

Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?

Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?

Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka dengan wang hasil judi yang mereka perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?

Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?

KEMISKINAN dan HARGA NAIK

Dato’ Seri orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga kaya raya.

Maka tidak kiralah jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau RM 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.

Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya adalah pengurusan yang menghancur!

Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu).

Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah hutang yuran persekolahan pun masih belum dilunas. Bukan sedikit keringat yang dicurah demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.

Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.

Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu menang nanti kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha keras sendiri.

SUARA RAKYAT

Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.

Dan menteri-menteri Dato’ Seri tanpa rasa bersalah menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu bisa memahami pedihnya hati ini.

Semuanya adalah kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.

Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?

Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat. Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media di bawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara adalah bercanggah pada sisi agama.

Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi penyebab anak-anak muda ditangkap khalwat?

Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?

REFORMASI

Saya dan juga rakan-rakan adalah remaja muda yang punya sikap, punya pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.

Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.

Jika sampai masanya untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.

Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh tempat tertinggi di negara ini.

Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?

Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada lenggok bahasanya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.

Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!

Sekian, terima kasih.

Thursday, March 17, 2011

Gambaran Alam Mahsyar


1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti
tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali
Izrail & beberapa malaikat yg lain.. Selepas itu, Izrail pun mencabut
nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman
mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang
menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan
Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa". Ini menunjukkan kebesaran &
keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak
mati.

3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya
meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula
di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang
rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz
Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia
umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan
hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat
takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi
kelak.

6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh
yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar.
Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal),
berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi
yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan
lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan
cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya.
Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu
turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta'ala. Seluruh
makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang
menakutkan.

9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda.
Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas
kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti
keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-
bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan
dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul
atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan
mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10. Terdapat satu kolam kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama
Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang
mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang
menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam
ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air
kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan
rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir
dari syurga.

11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7
golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

1. Pemimpin yang adil.

2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

3. Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.

4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan
berkata "Aku takut pada Allah".

6. Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang
ramai).

7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air
matanya kerana takutkan Allah.



12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua
manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian
mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka
mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia
ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi
Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah
Ta'ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s.,
Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan
sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah
saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun
perjalanan.

13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah
Ta'ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga
menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun.
Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang
malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun)
sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba
dibumi.

15. 'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah
(bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul
oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia
seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan
malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya
yang sangat kuat.

16. Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy
yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih
kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah
ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu
dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan
masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa
silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab.
Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib
& 'Atid / Kiraman Katibin.

18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-
masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang
zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w.,
dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum
yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat
akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil
dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika
orang bukan mukmin.

21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca
Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai
lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang
gelap untuk menimbang dosa.

22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4
mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam,
maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap
akan ditimbang.

24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-
kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan.
Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang
ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang
dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya
menyeberangi titian sirat.

26. Syafaat Nabi Muhammad s.a..w. di akhirat :

a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan
mempercepatkan hisab.

b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta'ala.


27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh
Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini
berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000
orang yang lain.

28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga
melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian)
yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti
sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang.
Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000
tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun.
Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang
binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya
disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh
ke dalamnya.

30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap
makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang
sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam
neraka.



Rujukan:

Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-
Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Dalam sepotong ayat dan hadis ada menerangkan:

"Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong ." (An-Nahl ayat 105)

"Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

Wednesday, March 2, 2011

kisah pemuda malas solat

Islam itu mudah apabila , pertama,menjalankan syari’at Islam boleh secara bertahap. Dalam hal ini, seorang muslim tidak serta-merta diharuskan menjalankan kewajiban agama dan amalan-amalan sunnah secara serentak. Ada tahapan yang mesti dilalui: mulanya kita hanya diperintahkan untuk melaksanakan kewajiban-kewajiban pokok agama. Setelah yang pokok-pokok berhasil dilakukan dengan baik dan rapi, kalau punya kekuatan dan kesempatan, maka dianjurkan untuk menambah dengan amalan-amalan sunnah.

Bagaimana?
Pertama, membenarkan Islam diamalkan secara berperingkat- peringkat seperti kita mendidik seseorang untuk bersolat. Saya berikan contoh dari cerita seorang lelaki yang baik tetapi tidak bersolat.

Kisahnya bermula di sebuah tempat di salah sebuah Negara Arab. Terdapat seorang pemuda yang sangat liat untuk mendirikan solat. Malah dia tidak mendirikan langsung solat lima waktu. Seorang diri pun berat, apatah lagi secara berjamaah. Setiap kali ada ulama yang berkunjung ke tempat mereka, seringkali jugalah penduduk setempat mengadu kepada ulama yang datang bertandang berkenaan sikap pemuda tersebut.

Berkali-kali diberikan nasihat namun sedikitpun tidak memberikan apa-apa kesan kepada anak muda ini. Malah makin menjadi-jadi.

“ Awak wajib mendirikan solat lima waktu. Solat merupakan tiang agama kita” kata salah seorang pendakwah kepada pemuda tersebut.

“ Emm..insyaAllah kalau saya rajin saya akan buat ye “ jawab pemuda tersebut secara sinis.

Begitulah seterusnya. Sehinggalah datang seorang ulama daripada al-Azhar al-Syarif bertandang ke tempat mereka. Aduan yang sama diberikan. Setelah mendengar dengan teliti aduan para penduduk. Maka Ulama ini berkenan untuk bertemu dengan pemuda ini.

“ Syeikh pun nak tegur saya juga? Nak suruh saya dirikan solat lima waktu?” sindir pemuda ini bila melihat ulama tersebut datang bertamu ke rumahnya.

Ulama tersebut sambil tersenyum menjawab “ Sekadar ingin berkenalan.Tiada langsung niat saya ingin memaksa kamu seperti yang kamu sebutkan”.

Pertemuan pertama berjalan dengan lancar. Langsung tidak disentuh oleh ulama tersebut berkenaan solat . Perkara yang dilaksanakan hanyalah sekadar merapatkan tali silaturrahim. Bincang tentang pekerjaan, tempat tinggal, sara hidup dan lain-lain.

Pemuda tersebut begitu senang dengan perlakuan Syeikh. Tanpa sedar terselit rasa kagum pada seorang tua berjubah tersebut. Tidak seperti yang selalu datang bertemu dengannya. Setiap kali duduk , terus memberikan peringatan dan dalil-dalil tentang haramnya meninggalkan solat.

Akhirnya pemuda ini pula datang berkunjung ke tempat penginapan Syeikh. Maka semakin bertambah mesra pergaulan mereka. Begitulah keadaan seterusnya, Syeikh tetap tidak pernah menyentuh tentang solat. Sehinggalah tiba satu hari, Syeikh memberitahu bahawa beliau akan berangkat pulang ke Mesir. Ini kerana tugas yang diberikan oleh pihak al-Azhar ditempat tersebut telah selesai. Pemuda itu datang bertemu Syeikh. Rasa sedih akan berpisah dengan seorang ulama menyentak-nyentak jiwanya.

Sebelum berpisah, Syeikh memeluk Ahmad seraya berkata dengan lembut “ Ahmad, aku ada mendengar suara-suara mengatakan bahawa engkau tidak pernah bersembahyang. Betulkah begitu?”Tersentak Ahmad bila mendengar pertanyaan daripada Syeikh tersebut.

“ Memang benar wahai tuan Syeikh. Bukan aku tidak mengetahui bahawa ianya wajib cuma sikap malas yang ada padaku inilah yang menghalang untukku melakukannya”jawab Ahmad memberikan alasan.

“Baiklah, kalau begitu, bolehkah kamu tunaikan permintaanku sebelum aku berangkat pulang?”

“Permintaan apa itu wahai tuan?”

Kamu pilih solat mana yang paling ringan untuk kamu dirikan. Satu pun sudah memadai, Boleh?”Tanya Syeikh kepada Ahmad.

Terkejut Ahmad mendengar pertanyaan Syeikh. Belum pernah dia dengar solat boleh dipilih-pilih untuk disempurnakan.

“ Bolehkah begitu wahai tuan Syeikh?” Tanya Ahmad penuh keraguan.

“Boleh tapi hanya untuk kamu sahaja” Jawab Syeikh sambil tersenyum.

“ Baik ,dulu kamu pernah ceritakan kepadaku bahwa kamu berkerja sebagai petani bukan? Dan kamu juga sering bangun awal pagi untuk ke kebunmu. Bukankah begitu Ahmad?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“Benar Tuan Syeikh”

”Kalau begitu aku cadangkan kepadamu, alang-alang kamu telah bangun setiap awal pagi , apa kata jika kamu basahkan sedikit sahaja anggota tubuhmu dengan wudhuk dan terus selepas itu dirikan solat subuh dua rakaat. Dua rakaat sahaja, rasanya tidak terlalu berat bukan?” Syeikh memberikan cadangan kepada Ahmad.

Ahmad tanpa banyak bicara terus menerima cadangan Tuan Syeikh. Perasaan serba salah menyelinap jiwanya jika dia menolak permintaan syeikh tersebut yang terlalu rapat dengannya.

“Janji denganku Ahmad yang kamu tidak akan meninggalkan sekali-kali solat subuh ini di dalam hidupmu. InsyaAllah tahun depan aku akan berkunjung lagi ke sini. Aku berharap agar dapat bertemu denganmu di Masjid setiap kali solat subuh tahun hadapan.Boleh ya Ahmad? Syeikh memohon jaminan daripadanya.

“ Aku berjanji akan menunaikannya”. Maka dengan senang hati Tuan Syeikh memohon untuk berangkat pulang ke Mesir. Di dalam hatinya, memohon agar Allah memberikan kekuatan kepada Ahmad untuk melaksanakan janjinya.

Tahun berikutnya, setelah Tuan Syeikh sampai di tempat tersebut, beliau benar-benar gembira bilamana melihat Ahmad benar-benar menunaikan janjinya. Namun menurut penduduk setempat, Ahmad hanya solat subuh sahaja. Solat yang lain tetap tidak didirikan. Tuan Syeikh tersenyum. Gembira dengan perubahan tersebut.

Suatu pagi setelah selesai menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid. Syeikh memanggil Ahmad. Seraya bertanya: “ Bagaimana dengan janjimu dulu Ahmad.Adakah ada terdapat hari yang engkau tertinggal menunaikan solat subuh?”.Ahmad menjawab dengan yakin : “ Berkat doamu tuan Syeikh, Alhamdulillah sehari pun aku tidak ketinggalan solat jemaah subuh di masjid ini”

“Alhamdulillah, bagus sekali kamu. Engaku benar-benar menunaikan janjimu.”

“ Mudah sahaja rupanya tunaikan solat ini ya Tuan”

“ Perkara yang kamu lakukan tanpa paksaan pasti akan kamu rasakan mudah sekali. Yang penting jangan rasakan ianya suatu paksaan .Tetapi anggap ianya suatu kegemaranmu. Seperti kamu berkebun. Tiada yang memaksa, tetapi disebabkan minatmu yang mendalam terhadap kerja-kerja itu, maka tanpa disuruh kamu akan melaksanakannya bukan?”Syeikh menerangkan kepada Ahmad.

“ Benar apa yang tuan katakan.Perkara yang kita lakukan dengan minat, tanpa dipaksa pun akan kita laksanakan”

“Ahmad, kamu habis bekerja pukul berapa ya?” Tanya Syeikh kepada Ahmad.

“ Ketika azan Zohor aku berhenti untuk makan , kemudian aku sambung kembali kerja sehingga hampir Asar”

“Pasti kamu bersihkan sedikit dirimu bukan ? Membasuh tangan dan kaki untuk duduk menjamah makanan? Benar Ahmad?” Tanya Syeikh meminta kepastian.

“Ya benar Tuan”

“ Kalau begitu, apa pendapatmu jika aku mencadangkan agar engkau lebihkan sedikit basuhanmu itu. Terus niatkan ianya sebagai wudhuk. Selesai makan, terus dirikan solat zohor empat rakaat. Sekadar empar rakaat tidak lama rasanya bukan? Takkan terjejas tanamanmu agaknya?” Kata Syeikh berseloroh kepada Ahmad.

Ahmad tertawa dengan gurauan Tuan Syeikh. “ Betul juga apa yang disebutkan oleh tuan. Baiklah mulai hari ini saya akan cuba laksanakannya”.

Jauh disudut hati Syeikh berasa sangat gembira dengan perubahan yang berlaku kepada Ahmad. Setelah selesai kerja Syeikh di tempat tersebut. Beliau berangkat pulang ke Mesir. Beliau berjanji untuk datang semula pada tahun hadapan.

Begitulah keadaannya Ahmad. Setiap tahun Syeikh bertandang, maka setiap kali itulah semakin bertambah bilangan solat yang dilakukan. Kini masuk tahun ke lima Syeikh bertandang ke tempat tersebut.

Ahmad seperti biasa hanya mendirikan solat empat waktu kecuali Isya’. Selesai menunaikan solat Maghrib. Terus beliau berangkat pulang ke rumah.

Suatu hari semasa Tuan Syeikh melihat Ahmad hendak berangkat pulang setelah menunaikan solat Maghrib berjemaah. Terus beliau memanggil Ahmad.

“ Bagaimana dengan kebunmu Ahmad? Bertambah maju?” Syeikh memulakan bicara.

“ Alhamdulillah, semakin bertambah hasilnya Tuan”

“ Baguslah begitu.Aku sentiasa doakan hasilnya semakin bertambah.”Doa Tuan Syeikh kepada Ahmad.

“ Ahmad, aku ingin bertanya kepadamu sebelum engkau pulang. Cuba engkau perhatikan dengan baik. Apa lebihnya kami yang berada di dalam masjid ini berbanding kamu? Dan Apa kurangnya kamu berbanding kami yang berada di dalam masjid ini?”

Ahmad tunduk sambil memikirkan jawapan yang patut diberikan.

“ Lebihnya kamu semua adalah kerana kamu mendirikan solat Isya’, sedangkan aku tidak menunaikannya”

“Baiklah, adakah kamu ingin menjadi orang yang lebih baik daripada kami semua?”Tanya Tuan Syeikh menguji.

“Sudah tentu wahai Tuan Syeikh” jawab Ahmad dengan penuh semangat.

“ Kalau begitu dirikanlah solat Isya’. Maka engkau tidak lagi kurang berbanding kami.Malah engkau akan menjadi lebih baik daripada kami” Syeikh memberikan jawapan yang cukup berhikmah kepada Ahmad.

Akhirnya, berkat kesabaran Tuan Syeikh mendidik Ahmad.Beliau berjaya menjadikan Ahmad seorang yang tidak lagi meninggalkan solat.

Lima tahun bukanlah masa yang singkat untuk memberikan dakwah sebegini. Kesabaran dan hikmah yang tinggi sangat-sangat diperlukan demi menyampaikan risalah dakwah.

Berbeza dengan kita sekarang. Sekali kita bercakap, harapan kita biar sepuluh orang berubah dalam sekelip mata. Oleh kerana itulah, bilamana orang menolak dakwah kita, kita mencemuh, mengeji dan mengatakan bahawa semua sudah lari daripada jalan dakwah.Lari daripada jalan kebenaran.

Saturday, February 26, 2011

KEHEBATAN SURAH QULHUAALLAH DAN BAHAYA TIDUR TANPA BERWUDHUK SEMASA HAID, NIFAS SELEPAS JUNUB.....

KEHEBATAN SURAH QULHUAALLAH DAN BAHAYA TIDUR TANPA BERWUDHUK SEMASA HAID, NIFAS SELEPAS JUNUB.....




Pengajaran

Allah tidak menjanjikan hidup ini tidak pernah susah, bersuka-ria tanpa kesedihan, Panas tanpa hujan tetapi ia memberi kita kekuatan, menenangkan kita semasa kesedihan dan menunjukkan jalan yang
sebenar-benarnya. Janganlah kita sombong dengan kelebihan yang sementara.


LUANGKAN MASA ANDA SELAMA 15 - 20 MINIT UNTUK MENGETAHUI APAKAH MESEJ YANG DISAMPAIKAN SEBELUM ANDA BUANG RISALAH INI SEBALIKNYA FOWARDKAN KEPADA SAUDARA ISLAM KITA YANG LAIN TERIMA KASIH.
WASSALAM.

KEHEBATAN SURAH AL-IKHLAS

'Au zubillah himinashsyaitan nirrajim..bismilla hirrahmannirrahi m'

Tafsirannya:
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam, Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.  Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas, kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad. Allahussamad. Lamyalid walam yu-lad. Walam yakul lahu kufuwan ahad..) sebanyak 3 kali.

Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah... . Berilah salam kepada anggota rumah dan  sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut. Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.

Diriwayatkan oleh Iman Bukhari sabda Nabi Muhammad sa..w:
'Barang siapa membaca Qul huwa'llahu ahad 100,000 kali maka sesungguhnya ia telah menebus dirinya dari  Allah, maka menyeru yang menyeru dari pihak Allah di langit dan di bumi. Kusaksikan bahwa sifulan itu telah menjadi pemendekaan Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah, Sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari neraka'. Inilah yang dinamakan membaca Qulhua'llah ahad  satu khatam iaitu 100,000 kali dengan diwiridkan seberapa ribu kesanggupan kita sehari..

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).  Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya Siapakah antara Kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangkamasa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat. Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab  dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran... Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000  sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan.

Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang  sahara itu seluas dari timur hingga ke barat.Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas.

Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan...

Sabda Rasulullah SAW lagi:

Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a..s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.

Siapa membaca surah Fatihah, al-ikhlas, al-falaq, dan an-annas setiap satu sebanyak 7 kali selepas solat jumaat, nescaya terpelihara dari perkara keji dan segala bala hinggalah ke jumaat yang berikiutnya. .

Jika dibaca 3 surah ini al-ikhlas, al-falaq and an-nass pagi dan petang nescaya tidak mengalami apa-apa kesusahan.



Nota:
Jika sekiranya kawan-kawan ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada kawan2 yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW 'Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat'. Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

1) Sedekah/amal jariahnya
2) Doa anak-anaknya yang soleh
3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain

Wednesday, February 23, 2011

CIRI CIRI LELAKI IDAMAN WANITA....

10 CIRI-CIRI LELAKI IDAMAN WANITA.....

1. LELAKI YANG PRIHATIN -
Iaitu mendengar dengan teliti apa yang kami cakap bukan dengar dengan telinga yang kembang aje..dan bukan masuk telinga kiri keluar telinga kanan; sebab cara mendengar begitulah yang biasanya mendorong kaum perempuan jadi membebel, bila dah membebel, panjanglah ceritanya, lepas tu pandai pulak nak menuduh yang kami ni dj baru thr dot fm..kesalahan sendiri tak perasan..

2. LELAKI YANG MENJADI PENAWAR -

Iaitu yang rajin dan pandai memberikan kata-kata keramat untuk jadi penawar hati kami; walaupun kurang rupa; tidak mengapa, yang penting kaum perempuan ni sentiasa menghadapi kemungkinan untuk ditimpa sakit dari sakit mata sampai sakit jiwa raga jadi, hatinya amat perlu dijaga; dan hanya kata-kata manis lagi betul susunan nahunya yang datang dari mulut lelaki akan menjadi penawar segala bisa.

3. LELAKI YANG MEMBERI KEBEBASAN SEWAJARNYA -

Kebebasan tu bukan kebebasan yang melanggar batas-batas hukum, tapi memberi kebebasan yang berupa hak . Contohnya bila berada di dalam kedai perabot, kaum perempuan berhak untuk mengangkut sebanyak mana barangan yang dikehendaki, kecuali tey kedai tu..lelaki cuma perlu senyum saja. Jika hendak melarang pun, gunakanlah suara selembut bayu.

4. LELAKI YANG BERHATI-HATI -

Iaitu berhati-hati dan tidak mudah-mudah saja untuk mengeluarkan kritikan terutama tentang masakan kami. Sebab... ketahuilah ye.. apabila kaum perempuan itu memasak, mereka bukanlah memasak untuk dikritik atau dikomen itu ini, kalau mereka maukan begitu, tentulah mereka memasuki peraduan masakan. Jadi.. biarkanlah mereka sendiri yang mengaku makanan itu tak sedap. Lain daripada itu, sedap tak sedap..'pulun' aje le...!!!

5. LELAKI YANG WANGI -

Ini adalah seimbang dengan fitrah kaum perempuan yang memang dicipta sebagai makhluk yang cenderung kepada kecantikan dan kebersihan. Oleh itu, kaum lelaki wajar memberi perhatian akan perkara ini. Jagalah fizikal anda, elakkan B.O;apalagi yang kuku berkarat dan selekeh macam pelarian tak cukup kaki. Kalau nak markah lebih tinggi, kenakan wangi-wangian selalu, mandi dan berendamlah dalam botol minyak wangi.

6. LELAKI YANG PEMURAH -


Dalam erti kata yang lain, lelaki yang pemurah adalah yang sentiasa rela dan redha menyerahkan wang ke tangan perempuan. Bukan untuk dikuasai, tapi inilah cara paling baik untuk kaum perempuan, terutamanya kaum isteri untuk mengawal asap rokok yang disedut suami. Paling penting langkahnya pun tidaklah terlalu panjang dan matanya pun tidaklah terlalu liar untuk memandang perempuan-perempuan lain.

7. LELAKI YANG TIDAK KISAH -

Iaitu lelaki yang tidak ambil kisah sangat samada kaum perempuan ni nak memasak ke, nak membasuh ke, nak mengemas atau pun tidak bila di rumah tu. Malah, lelaki yang masuk dalam kategori lelaki tidak kisah ini adalah kaum lelaki yang memberi kelonggaran sepenuhnya kepada isterinya untuk menjadikan kedai makan sebagai dapur nombor dua mereka. Itulah yang menjadi idaman ramai wanita tu..!!

8. LELAKI YANG MEMBERI SOKONGAN PADU -

Inilah ciri-ciri lelaki yang amat diidamkan perempuan. kongan padu mereka adalah sokongan padu yang amat padat kepada kaum perempuan untuk memanjangkan masa-masa bersidang mereka dengan teman-teman atau jiran tentangga. Apabila mereka mula bersidang, lelaki yang menyokong dengan sepenuh hati tidak sesekali akan bertindak tegas atau mengacau biarpun perut mereka waktu itu sudah berkeroncong; mereka pandai membawa diri dan perut sendiri tanpa perlu menyusahkan isteri. Sungguh bertuah siapa yang memiliki dia kan...!!
9. LELAKI YANG CINTAKAN KEDAMAIAN -
Apabila seseorang lelaki itu bersifat cintakan damai, maka tenanglah hidup mereka bersama wanita pilihan. Contohnya, tidaklah lagi akan kedengaran perbalahan atau undian balik kampung siapa di musim-musim raya . Lelaki begini amat memahami dan sedar bahawa isterinya telah bertungkus-lumus menjaga anak dan jaga rumah jadi, sentiasa balik kampung isteri adalah hadiah terbaik. Cukuplah setengah hari setahun aje balik kampung sendiri; daripada tak balik langsung dan daripada bergaduh beramuk...lebih baik...beralah kan..

10. LELAKI YANG MENYERAHKAN KUASA VETONYA -

Inilah ciri lelaki yang menjadi buruan kaum perempuan..jika mereka sanggup menyerahkan kuasa veto ke tangan wanita..mereka akan menjadi lebih macho dan hensem daripada Brat Pitt atau Nicholas Cage di mata wanita . Kuasa Veto yang diserahkan itu adalah kuasa veto untuk menentukan samada lelaki yang jadi suami mereka tu boleh pasang 2,3,4 atau tidak. Selain itu wanita juga diberi kuasa veto untuk menentukan siapa kawan-kawan suami mereka; ini untuk pastikan suami tak terikut-ikut perangai yang tak elok. Dengan kuasa veto ini juga beerti kita, kaum wanita berhak sepenuhnya untuk meminta kaum lelaki membuat karangan bertajuk "BILA DAN DI MANA SAYA BERADA HARI INI" setiap kali mereka berhadapan dengan isteri , tunangan atau kekasih mereka.


"SESUNGGUHNYA..LIDAH WANITA ITU AKAN MENJADI SEMAKIN TAJAM APABILA LIDAH LELAKI MENJADI SEMAKIN BERCABANG!!!"

~Ya Allah sesungguhnya
Aku lemah tanpa petunjukMu
Aku buta tanpa bimbinganMu
Aku cacat tanpa hidayahMu
Aku hina tanpa rahmatMu~

Ciri wanita idaman lelaki

Ciri wanita idaman lelaki
BENARLAH kata-kata sikap lelaki memang sukar ditelah. Perangai mereka ada kalanya memeningkan kepala wanita terutama yang mencintainya.

Sesanda perlu menunjukkan rasa kasih mendalam terhadapnya demi meraih cintanya. Walaupun pada dasarnya cinta tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan, anda harus memberi sebahagian hati untuk membuat dia tertawan.

Untuk merasai lebih dicintai, anda sendiri harus mengetahui apa yang disukai lelaki pilihan anda itu. Jika lelaki sukakan wanita yang memenuhi cita rasanya, cubalah belajar mengenali hati lelaki.

Mana tahu sikap anda yang pandai mengambil hati, tidak mementingkan diri sendiri selain boleh bertolak ansur menjadi faktor lelaki itu memuja anda suatu hari nanti.

Lelaki juga tidak suka wanita yang mengada-ngada selain wanita yang agak ‘ganas’ dalam bergaul.

Untuk itu, tatacara pergaulan perlu dijaga supaya anda menjadi wanita yang lemah-lembut dan berhemah sepanjang pergaulan. Ia penting kerana anda tidak terlalu menampakkan sikap yang membuatkan lelaki cepat muak atau meluat.

Mungkin anda boleh mencuba petua ini, mana tahu persahabatan yang disemai berakhir dengan ikatan suci.

Jadi pendengar setia
Lelaki suka wanita menjadi pendengar setia dan tidak suka kaum hawa yang suka membangkang.

Suka dimanja.
Yang paling penting, lelaki suka dimanja dengan belaian dan kata-kata romantik.

Tarikan derapan kasut
Bunyi derapan kasut ketika berjalan juga mampu menarik perhatian lelaki.

Jangan bersolek tebal
Lelaki tidak suka jika anda memakai alat solek terlalu tebal.

Ingat hari pentingnya
Mengetahui bila hari lahirnya antara resipi penting yang perlu diketahui. Berbuatlah sesuatu untuk hari pentingnya itu.

Hormatinya
Menghormati dirinya, keluarga dan teman-teman yang rapat dengannya.

Jangan terlalu kebudak-budakan

Bersikap matang dalam tutur kata dan tingkah laku. Lelaki tidak suka wanita yang bersikap terlalu kebudak-budakan.

Agresif
Lelaki suka sikap wanita yang agresif.

Jangan terlalu seronok
Jangan terlalu seronok ketika bertemu dan berbual dengannya. Contohnya berbual terlalu lama di telefon untuk perkenalan pertama.

Jangan ganas
Jangan terlalu bersikap kelelakian dan ganas dalam pergaulan.

Jangan terlalu baik
Jangan terlalu menunjukkan bahawa kamu ini terlalu baik dan sempurna.

Jangan perasan

Jangan perasan bahawa kamu ini mempunyai paras rupa yang jelita.

Sikap sederhana
Sentiasa memegang prinsip sederhana dan tidak boros di dalam perbelanjaan.

Sikap keibuan
Bersikap keibuan adalah antara petua yang perlu dititikberatkan.

Lemah-lembut

Sentiasa bercakap lembut dengan mereka.

Sensitif
Ketahuilah mereka adalah golongan yang terlalu sensitif dan sukakan kelembutan apatah lagi daripada seorang gadis.

Kenali dirinya
Kenali siapa dirinya yang sebenar sebelum anda memulakan langkah untuk memikat.

Jaga kecantikan
Lelaki sukakan wanita yang suka menjaga kulit. Jangan biarkan wajah anda dipenuhi jerawat batu!

Gaya kemas
Aset penting bagi anda untuk memikat lelaki adalah mata, punggung dan gaya langkah yang kemas.

Jangan kuno
Jangan bersikap terlalu kuno.

Sering tanya khabar
Bertanya khabar sekurang-kurangnya dua kali seminggu supaya tali persahabatan anda dengannya tidak putus begitu saja. Mungkin suatu hari nanti sikap anda yang terlalu mengambil berat mampu menarik perhatiannya.

Jujur dalam tingkah laku
Usia dan bentuk badan bukan menjadi ukuran penting tetapi kecerdikan, kejujuran serta tingkah laku yang bersopan-santun.

Suka yang beragama
Lelaki sukakan seorang wanita yang beriman dan beragama namun begitu anda tidaklah perlu terlalu alim.

Tidak mudah dipermainkan
Menunjukkan bahawa anda bukanlah seorang gadis yang mudah dipermainkan selain tidak terlalu merengek dan mengada-ngada.

Jangan tunjuk lemah
Jangan tunjukkan kelemahan anda ketika berada di samping lelaki yang anda minati.

Tunjuk matang
Lelaki sukakan wanita yang bijaksana dan matang serta mudah diajak berbincang.